KUALA LUMPUR – Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) bersama Aktivis Alam Malaysia menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera mengambil tindakan bagi membawa pulang tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun ke Malaysia.
Presiden PERKAM, Prof Dr. S. Santharasekaran mendakwa, ia kerana pemantauan pihaknya terhadap ketiga-tiga gajah berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan haiwan terbabit khususnya menjelang musim sejuk di Jepun.

Menurutnya, usaha membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat sudah dilakukan sejak enam bulan lalu termasuk mengemukakan memorandum dan surat kepada pelbagai pihak antaranya Majlis Perbandaran Taiping, Zoo Taiping, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pergerakan ini sudah mengambil masa enam bulan. Pada 10 Mac 2026, D.A.K. telah dihantar ke di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun dan hari ini 10 September bermakna sudah enam bulan tiga ekor gajah kita berada di sana.
“Saya nyatakan mereka terseksa sebenarnya tetapi maklumat daripada pelbagai badan kerajaan menyatakan mereka baik, gemuk dan sihat.
“Sebenarnya tidak dan saya juga ada bukti,” katanya ketika Perhimpunan Aman dan Sidang Media “Rakyat Malaysia Bersuara Kembalikan Dara, Amoi & Kelat” di sini hari ini.
Beliau turut mendakwa terdapat persoalan berkaitan pengurusan dan penggunaan peruntukan undang-undang dalam urusan penghantaran ketiga-tiga gajah berkenaan ke Jepun.
Santharasekaran berkata, pihaknya mahu semua urusan berkaitan gajah berkenaan dilakukan secara telus dan sekiranya terdapat kesilapan, ia perlu diakui serta diperbetulkan.
“Kami bukan merayu lagi, kami mendesak Perhilitan. Kalau ada pegawai baharu, tolong uruskan dan bawa mereka pulang dengan segera, dalam tahun ini juga.
“Kami tidak marah. Kami cuma mahu D.A.K. kembali. Pulangkan mereka dengan selamat,” tegasnya.
Sementara itu, aktivis, Dr. Siti Sr Raw berkata, pihaknya telah menempatkan enam kakitangan di lokasi berkenaan bagi membuat rakaman dari pagi hingga petang dengan keseluruhan rakaman yang dikumpulkan mencecah 155 jam.

Menurutnya, rakaman berkenaan kemudiannya diberikan kepada pakar gajah dunia, Dr. William Keith Lindsay yang kemudian menghasilkan tiga laporan terperinci berkaitan tingkah laku ketiga-tiga gajah itu.
“Berdasarkan laporan tersebut, terdapat rekomendasi supaya mereka dipindahkan kembali ke santuari dengan secepat mungkin.
“Kami tidak mahu tahu bagaimana hubungan antara zoo dengan Zoo Taiping ataupun sama ada ia dijual atau dibeli. Kami cuma mahu mereka pulang,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu.
Dalam pada itu, Aktivis Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia, Noraini Abd Khalil Saferi mendakwa penghantaran Dara, Amoi dan Kelat ke Jepun lebih menjurus kepada kepentingan politik dan komersial berbanding aspek sains serta kebajikan haiwan.

Katanya, sekiranya aspek sains dan kebajikan benar-benar diambil kira, ketiga-tiga gajah berkenaan tidak sepatutnya dihantar ke Jepun.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap keadaan ketiga-tiga gajah itu ketika musim sejuk memandangkan gajah merupakan haiwan yang secara semula jadinya memerlukan ruang untuk bergerak dan boleh berjalan dalam jarak yang jauh.
Media sebelum ini melaporkan, DAK ditempatkan di Zoo Tennoji yang terletak di Osaka, Jepun menerusi program kerjasama antarabangsa selama 25 tahun antara Zoo Taiping & Night Safari dan pihak Zoo Tennoji – MalaysiaGazette
















