Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Laporan interim yang mengandungi hasil kajian serta cadangan penambahbaikan oleh Jawatankuasa Khas Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 (Jawatankuasa Khas HTF30) akan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada penghujung bulan ini.

Jawatankuasa Khas HTF30 dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan itu disediakan selepas jawatankuasa berkenaan mengadakan enam siri mesyuarat bersama pihak berkaitan termasuk FELDA.

“Siri mesyuarat berkenaan meneliti pelbagai aspek melibatkan hala tuju strategik, operasi, kedudukan kewangan, struktur organisasi dan tadbir urus Kumpulan FELDA,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Jawatankuasa Khas HTF30 sedang meneliti perkara-perkara seperti status penyahsenaraian FGV Holdings Berhad serta pembentukan model perniagaan baharu untuk mencapai kelestarian dan kemandirian FELDA.

“(Turut diteliti) cadangan Model FELDA Baharu yang turut menyentuh tanggungjawab FELDA terhadap peneroka dan generasi seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu turut mengkaji isu kelemahan tadbir urus dalam pembelian atau pelaburan lapan aset seperti yang terkandung dalam Kajian Forensik Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

Selain itu, penelitian turut melibatkan isu premium tanah tertunggak, pendaftaran hak milik dan kedudukan tanah dengan kerajaan negeri.

Penubuhan Jawatankuasa Khas HTF30 diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bagi mengkaji dan meneliti pelan strategik yang disediakan oleh FELDA dan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Ahmad Fuad Md Ali serta Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Jawatankuasa Khas HTF30 hanya berperanan sebagai badan penasihat manakala tanggungjawab fidusiari kekal digalas oleh Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan FELDA dan anak syarikatnya selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Nurhisham Hussein selaku wakil daripada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah wakil-wakil daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Bahagian Kawal Selia FELDA, JPM; pakar audit daripada Ernst & Young PLT Malaysia serta pakar undang-undang daripada Tetuan Mohamad Hanafiah Zakaria. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here