Tengku Andy Asmawi yang mesra disapa Awie (tengah) menemukan gelang berkenaan kira-kira jam 7 pagi Ahad lalu ketika sedang menyapu di kawasan pokok berhampiran Muzium Samudera, Banda Hilir, Melaka

MELAKA – Tidak sampai sesaat pun terlintas untuk mengambilnya, sebaliknya seutas gelang emas ‘jagung’ yang dipercayai bernilai lebih RM15,000 dijumpai tukang kebun ketika melakukan kerja pembersihan terus diserahkan kepada petugas Muzium Samudera di sini.

Menceritakan kejadian itu, Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, 28, yang mesra disapa Awie berkata, dia menemukan gelang berkenaan kira-kira jam 7 pagi Ahad lalu ketika sedang menyapu di kawasan pokok berhampiran muzium berkenaan.

Menurutnya, selepas terlihat barang kemas itu, dia hanya terfikir ianya mungkin milik pengunjung muzium berkenaan yang tercicir ketika berkunjung bersama keluarga pada hari sebelumnya.

“Masa sedang sapu daun-daun kering di kawasan pokok, saya ternampak gelang emas itu dan tanpa berfikir panjang terus mengambilnya untuk diserahkan kepada kakitangan yang berada di situ.

“Tak terlintas langsung nilainya (RM15,000) kerana saya mahu cari rezeki yang halal untuk dua anak dan isteri,” katanya pekerja landskap Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di Muzium Samudera itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Berdasarkan pemerhatian mata kasar, ‘gelang emas jagung’ ini mungkin seberat 25 gram dengan anggaran nilai RM15,000.

Awie berkata, prinsip amanah itu menjadi pegangan dirinya sejak mula bekerja di situ dua bulan lalu selepas berpindah ke Melaka dari Kemaman, Terengganu.

Gelang emas berkenaan kemudian diserahkan kepada Pembantu Khidmat Am PERZIM, Khairuddin Mohamad Yusop, sebelum disimpan untuk tindakan lanjut pihak muzium.

Sementara itu, Penolong Kurator Perbadanan PERZIM, Farah Wahida Abd Wahab, berkata, pihaknya menerima makluman mengenai pengunjung yang tercicir barang kemas itu pada kira-kira jam 8 pagi Selasa lalu.

Menurutnya, pihak muzium pada mulanya perlu memastikan gelang yang dituntut benar-benar miliknya sebelum proses pengesahan dibuat dengan meminta pemilik memberikan maklumat serta gambar gelang berkenaan ketika dipakai oleh anaknya.

Tengku Andy Asmawi yang mesra disapa Awie menemukan gelang berkenaan kira-kira jam 7 pagi Ahad lalu ketika sedang menyapu di kawasan pokok berhampiran Muzium Samudera, Banda Hilir

“Selepas pengesahan berjaya dibuat barulah kita bersetuju untuk serahkan gelang ini kepada pemiliknya berasal dari Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

“Berdasarkan pemerhatian mata kasar, ‘gelang emas jagung’ ini mungkin seberat 25 gram dengan anggaran nilai RM15,000” katanya.

Katanya, budaya amanah dan jujur sememangnya diterapkan dalam kalangan petugas PERZIM terutama apabila berdepan barang pengunjung yang tertinggal atau tercicir.

“Memang kita di PERZIM dididik dan diajar untuk jadi amanah dan jujur. Barang pelancong memang kita simpan dan pulangkan bila dituntut,” katanya.

Menurutnya, sepanjang bertugas, beliau sudah beberapa kali menguruskan barang berharga yang ditinggalkan pengunjung termasuk telefon bimbit dan beg tangan.

Terdahulu, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian selepas kisah penemuan gelang emas itu dikongsikan Muzium dan Galeri Melaka sebagai contoh amalan integriti dalam kalangan petugas, termasuk pekerja landskap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here