KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mahu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang lahir daripada kepercayaan rakyat, bukan sekadar mengambil kesempatan atas kemarahan mereka terhadap parti lawan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan, UMNO perlu memberikan sebab kepada rakyat untuk kembali yakin terhadap parti itu.
“Wanita tidak mahu UMNO menang hanya kerana rakyat marah kepada orang lain atau kerana lawan melakukan kesilapan.
“Saya mahu kita menang kerana rakyat kembali percaya kepada kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Menurut beliau, kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan kepercayaan rakyat terhadap parti itu mula kembali.
Katanya bersemangat, BN menang 48 daripada 56 kerusi di Johor, manakala UMNO memenangi 36 daripada 37 kerusi yang ditandingi. Di Negeri Sembilan pula, BN menang kesemua 16 kerusi yang ditandinginya.
“Johor memberikan keyakinan. Negeri Sembilan memberikan momentum. Melaka mesti memberikan isyarat,” katanya.
Noraini berkata, kepercayaan tidak boleh dipaksa, dibeli atau hanya dituntut berdasarkan jasa lalu.
“Jasa semalam memberikan kita sejarah. Kerja hari ini memberikan kita kepercayaan. Sebab itu, kita mesti memberikan rakyat sebab untuk kembali percaya kepada kita,” katanya lagi.
Beliau berkata, kekuatan Wanita UMNO terletak pada hubungan langsung dengan rakyat, khususnya dalam memahami masalah keluarga, kos sara hidup dan keresahan golongan muda. -MalaysiaGazette
















