KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengurusan Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Zafar Ahmad Abdul Ghani mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan memohon untuk dibicarakan. Mahkamah menetapkan 30 Oktober 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dibuat susulan siasatan yang dijalankan oleh Inspektor Sivalingam A/L Sillappan dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terhadap aktiviti organisasi itu di media sosial termasuk kenyataan dan penerbitan oleh tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Presiden MERHROM.
JPPM berkata, semakan mendapati MERHROM tidak berdaftar, manakala tertuduh pula bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar menggunakan nama tersebut.
Kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan pendakwaan diambil.
JPPM memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian atau promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang.
Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan. – MalaysiaGazette
















