Petr Rikunov

CAMERON HIGHLANDS – Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team, Petr Rikunov membuat kejutan apabila memenangi Peringkat 4 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) di puncak Cameron Highlands, hari ini.

Dalam kayuhan sejauh 143km yang bermula di Meru Raya sejauh 142.3km itu, pelumba pasukan Benua dari China itu meninggalkan dua pencabar terdekatnya dalam kumpulan breakaway, Javier Ibanez Salazar (Caja Rural-Seguros RGA) dan pelumba TotalEnergies, Alan Jousseaume, dengan menamatkan perlumbaan dalam masa 3 jam 29 minit 12 saat, atau purata 40.81km/j.

Kejayaannya meraih 25 mata dalam senarai Raja Bukit itu, membolehkan pelumba 29 tahun dari Russia itu merampas jersi polka dot tajaan Bubbles O2 daripada penyandang sebelumnya yang juga pendahulu keseluruhan (GC) dari pasukan Tudor Cycling Team, Lennart Jasch.

Rikunov kini mengumpul 29 mata, 9 mata di depan Ibanez Salazar dalam klasifikasi Raja Bukit dan memanjat ke tangga ke-18 dalam senarai GC.

Namun Jasch, yang tiba dalam kelompok peloton 1:35s di belakang Rikunov, masih mengekalkan jersi oren pendahulu tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), 20s di depan pencabar terdekat dari Caja Rural, Abel Balderstone.

Pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome yang menamatkan Peringkat 4 itu di tangga ke-25, terus kekal menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia, tajaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027 (MASOC) juga masih kekal disarung pemenang Peringkat 1 dan 3 dari XDS-Astana, Matteo Malucelli.

Namun, Rikunov yang pernah menang Tour of Poyang Lake dan Tour of Qinghai Lake tahun lalu dan tempat ketiga GC Xizang Trans-Himalaya tahun ini, menyifatkan tindakan berani menyertai kumpulan pemecahan enam pelumba pada awalnya, membuahkan hasil.

“Sebelum ke Malaysia, tidak pernah saya terfikir akan menang peringkat di sini. Ketika dalam kumpulan depan itu, kami cuba berada sejauh mungkin tetapi kumpulan ini mengecil kepada hanya beberapa pelumba sebaik memulakan pendakian.

“Kelebihan hampir 4 minit itu menyebabkan kami berkayuh laju walaupun cuba dikejar peloton. Pada baki 1km, saya berasa sangat yakin dan memulakan henjutan yang akhirnya memberikan kemenangan,” katanya yang mengakui bukanlah seorang pendaki handalan dalam pasukan Wheeltop Rotor Chengdu.

Malah, katanya, mewakili sebuah pasukan kecil menyebabkan tumpuan lebih terarah kepada pelumba WorldTeam dan ProTeam lain, lantas memberi sedikit kelebihan kepadanya kerana tidak dihiraukan pencabar lain.

Sementara itu, Jasch yang menamatkan kayuhan di tempat kesembilan pada Peringkat 4 itu, berkata perancangan pasukan adalah untuk mengawal tempo kayuhan.

“Tiada tekanan walaupun ada sekumpulan 5 pelumba di depan. Lagipun, semua rakan sepasukan membantu dengan baik dan mujur cuaca juga tidak terlalu panas.

“Apa yang penting ialah bersedia menghadapi peringkat esok dan menguruskan tenaga dengan baik,” katanya yang mengakui sedikitpun tidak berasa terancam kehilangan jersi pendahulu itu.

Pelumba terbaik Malaysia pada Peringkat 4 itu adalah Tsen Ren Bao (St George Continental) yang menamatkan kayuhan di tempat ke-39 dan manakala pelumba TSG, Kee Zhe Yie di tangga ke-27 keseluruhan.

Di akhir Peringkat 4 itu, dua pelumba Owen Geleijn (Unibet Rose Rockets) dan Tulatorn Sosalam (Thailand Continental Team) gagal menamatkan perlumbaan (DNF), menjadikan hanya 112 pelumba akan bermula di garis mula Peringkat 5 dari Tapah-Genting Highlands sejauh 125.7km.

Peringkat 5 Tapah-Genting Highlands yang akan bermula jam 10 pagi, membabitkan tiga zon pecutan di Slim River, Tanjung Malim dan Batang Kali sebelum pelumba menuju ke puncak Genting Highlands pada paras 1,629 meter dari aras laut.

LTdL26 dengan jarak keseluruhan 1,285.5km berstatus 2.ProSeries dan dianjurkan KBS menerusi MSN serta mendapat kerjasama penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here