KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh ‘syok sendiri’ dengan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan kerana sokongan orang Melayu belum tentu kembali sepenuhnya kepada parti itu, selain kedudukan UMNO di Sabah semakin tersisih.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan sememangnya memberikan petunjuk positif, namun parti tidak boleh menganggapnya sebagai jaminan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Tegasnya, UMNO sendiri pernah mencatat kemenangan besar pada PRN Johor 2022 dan Melaka 2021 sebelum mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tiada kesetiaan dalam sikap pengundi. Yang ada hanyalah kepentingan.
“Tren pengundian semenjak 2018, menunjukkan bahawa sikap pengundi adalah sangat ‘erratic’. Sukar sekali untuk diramal.
“Mereka hanya akan memilih berdasarkan kepentingan. Sama sekali tiada kesetiaan, hanya kepentingan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

Mohamad turut memberi peringatan keras berhubung sokongan Melayu yang dianggapnya masih boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya kepentingan pengundi tidak lagi terjamin.
“Jika mereka merasa kepentingan mereka itu tergugat, mereka akan meninggalkan kita. Begitu juga sebaliknya.
“UMNO telah mengalami penolakan besar-besaran bangsa Melayu terhadapnya sebelum ini.
“Justeru, jangan sesekali mudah terpedaya, dengan indikasi bahawa, sokongan Melayu itu telah kembali. Semuanya hanya bersifat sementara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui kedudukan UMNO di Sabah semakin membimbangkan dan tidak boleh ditutup dengan kejayaan parti di beberapa negeri lain.
“Kita menang di Johor, kita menang di Negeri Sembilan, tetapi di Sabah kita semakin tersingkir dan semakin terpencil,” katanya.
Menurutnya, landskap politik negara juga sudah berubah apabila Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘deposit simpanan tetap’ yang akan menyokong mana-mana gabungan secara automatik.
“Sabah dan Sarawak bukan lagi deposit simpanan tetap. Sabah dan Sarawak kini menjadi kuasa penentu.
“Era menganggap Sabah dan Sarawak sebagai deposit simpanan tetap sudah berakhir,” katanya.

Mohamad berkata, keadaan itu membuktikan UMNO tidak boleh menganggap kemenangan di sesebuah negeri sebagai formula yang boleh diterapkan secara automatik di seluruh negara, sebaliknya setiap kawasan memerlukan strategi berdasarkan dinamik pengundi setempat.
“Tiada kemenangan yang boleh menjadi petunjuk mutlak, tentang masa depan UMNO, dalam politik Malaysia di masa akan datang.
“Semuanya bergantung kepada strategi unik, di setiap daerah politik yang UMNO bertanding.
“Tiada juga strategi menyeluruh untuk semua keadaan. No one solution that fits all,” katanya.
Beliau turut mengingatkan UMNO supaya memberi perhatian serius kepada pengundi muda yang disifatkannya sebagai ‘wild card electorate’, terutama dalam isu kos kehidupan, inflasi, pekerjaan dengan pendapatan munasabah dan kemampuan memiliki rumah.
“Mereka juga mahukan peruntukan lebih besar untuk pendidikan rentas peringkat, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan institusi keluarga.
“Elemen ideologi adalah ‘secondary’ walaupun identiti adalah penting untuk mereka.
“Yang pasti, kebanyakan mereka menilai dasar, berdasarkan manfaat material yang akan mereka dapat,” katanya.

Lantaran, Mohamad menegaskan UMNO perlu kekal sebagai parti tengah dan tidak terperangkap dengan pendekatan politik lama atau terlalu konservatif mahupun radikal.
“UMNO adalah parti tengah. Kita bukan parti yang konservatif dan kita bukan parti yang radikal.
“Kita mesti kekal sebagai parti yang sederhana, parti yang boleh diterima oleh semua,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan yang dicapai perlu dilihat sebagai peluang untuk UMNO memperbaiki diri, bukannya alasan untuk mendabik dada, terutama dalam menghadapi landskap politik yang semakin kompleks serta sokongan pengundi yang semakin tidak menentu. – MalaysiaGazette
















