Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diiringi ketua-ketua sayap UMNO hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Prestasi Kerajaan Perpaduan yang melaksanakan pelbagai dasar dan program baik untuk negara masih belum mampu mengubah persepsi majoriti Melayu terhadap kerjasama UMNO dan DAP.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada hujah yang mampu meyakinkan majoriti konstituen Melayu untuk menerima kerjasama kedua-dua parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

“Lihat sahaja bagaimana UMNO cuba mewajar dan menjelaskan kerjasamanya dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tiada hujah, yang boleh meyakinkan majoriti konstituen Melayu, atau melunakkan pendirian mereka, untuk menerima kerjasama UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurut beliau, persepsi itu berpunca daripada tanggapan yang telah tertanam dalam pemikiran orang Melayu bahawa DAP tidak pernah bersetuju dengan dasar-dasar diskriminasi positif untuk pribumi, selain stigma bahawa parti itu anti-Islam.

Katanya, keadaan itu berlaku walaupun Kerajaan Perpaduan bukan tidak berprestasi, malah banyak dasar dan program baik untuk mengembang dan menumbuhkan ekonomi negara telah berjaya dilaksanakan.

“Walaupun Kerajaan Perpaduan ini, bukanlah tidak berprestasi. Banyak dasar dan program yang baik untuk mengembang dan menumbuhkan ekonomi negara telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Mohamad berkata, kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan pula memberikan petunjuk bahawa orang Melayu mahukan perwakilan politik Melayu-Islam yang kuat, selain menunjukkan politik identiti masih sukar dipisahkan daripada sikap pengundi.

“Yang mereka berkehendak ialah, suara politik Melayu Islam itu dominan dan menguasai.

“Struktur politik formal itu tidak penting. Yang penting ialah tiada pertindihan kepentingan Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan UMNO supaya tidak terjebak dalam budaya politik toksik termasuk maki hamun, cercaan serta penyebaran fitnah dan berita tidak sahih terhadap lawan.

“Nasionalis UMNO tidak boleh terjebak dalam krisis fitnah dan cercaan. Kita mesti menjadi parti yang bertanggungjawab.

“Kita mesti memerangi segala berita palsu dan fitnah terhadap UMNO, tetapi jangan sesekali terlibat dalam penyebaran fitnah dan berita tidak sahih tentang lawan kita,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan ahli UMNO bahawa landskap politik kini jauh berbeza apabila setiap rakyat mempunyai keupayaan merakam, mengulas dan menularkan sesuatu isu, sekali gus menjadikan mereka sebahagian daripada pemerhati politik.

“Ingat, semua warga Malaysia sekarang adalah wartawan. Setiap perkara akan mereka rakam, komen dan tularkan.

“Setiap isu akan mereka korek dan dedahkan. Mereka sangat brutal dan demikianlah realitinya kita berpolitik dengan ‘generasi asli digital’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here