Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ceria hadir bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Taklimat Presiden UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan tidak akan lagi menjadikan mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas dan DAP sebagai ‘talian hayat’ untuk kelangsungan politiknya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu perlu berdikari dengan membangunkan kekuatan dan strategi sendiri tanpa bergantung kepada kekuatan mana-mana parti lain.

“UMNO juga sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH atau PN. Tidak Pas. Apatah lagi DAP.

“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain, atau kekuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL),  malam tadi.

Mohamad dalam pada itu berkata, UMNO tidak mempunyai pilihan, selain membina semula kekuatan sendiri selepas lapan tahun berada dalam ‘mod bertahan hidup’ sejak kehilangan kuasa pada 2018.

Menurutnya, UMNO akan terus meneroka segala kemungkinan, rumus dan menilai ancaman bagi memastikan parti itu terus bertahan serta berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.

“Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.

“Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan,” katanya.

Mohamad berkata, kebergantungan kepada parti lain mungkin membolehkan matlamat jangka pendek dicapai, namun tindakan itu akhirnya boleh memudaratkan UMNO dalam jangka panjang.

“Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan UMNO.

“Pergantungan kepada orang lain, adalah formula politik yang tempang. UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya.

“UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here