Sebahagian daripada 171 plaintiff yang menang dalam tuntutan sman dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Mahkamah Tinggi Sivil, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Penantian selama tujuh tahun 171 plaintif yang menuntut ganti rugi daripada beberapa pihak berhubung pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, berakhir hari ini apabila Mahkamah Tinggi Sivil di sini memutuskan mereka berjaya dalam saman terhadap empat defendan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Manira Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mendapati keempat-empat defendan bertanggungjawab dalam tuntutan yang difailkan berhubung kejadian pencemaran berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan keempat-empat defendan membayar kos guaman RM100,000 kepada semua plaintif.

Empat defendan berkenaan ialah syarikat pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd; dua pengarah syarikat yang juga warga Singapura, Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43; serta seorang pemandu lori, N Maridass, 42.

Bagaimanapun, semua plaintif gagal dalam saman terhadap lapan defendan lain termasuk Kerajaan Negeri Johor; Menteri Besar ketika kejadian, Allahyarham Datuk Osman Sapian; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri ketika itu, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Artikel berkaitan: Warga Singapura dikehendaki kes pencemaran Sungai Kim Kim serah diri

Pengarah kilang didakwa subahat lupus buangan terjadual ke Sungai Kim Kim

Insiden babitkan pelajar di Pasir Gudang mirip kes Sungai Kim Kim

Sisa toksik terbiar Sungai Kim Kim punca pencemaran berulang di Pasir Gudang

Akibat pencemaran Sungai Kim Kim: Irfan Wafiy positif myokymia

160 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim kemuka saman

Perbicaraan tertuduh cemarkan Sungai Kim Kim bermula hari ini

Harapan rakyat semoga tragedi Sungai Kim Kim tidak berulang lagi

Sungai Kim Kim didakwa kembali tercemar dan bewarna hitam

Kerajaan Johor pastikan insiden Sungai Kim Kim tak berulang

Pemandu lori didenda RM100,000, syarikat RM320,000 cemari Sungai Kim Kim

Cemar Sungai Kim Kim: Johor buat rayuan supaya pesalah dikenakan hukuman setimpal

Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim deritai penyakit Myokymia yang tiada ubat – Bapa

Pencemaran Sungai Kim Kim punca anak hidap Myokymia, bukan penyakit semasa kecil – Bapa

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan semua plaintif membayar kos guaman sebanyak RM80,000 kepada lapan defendan berkenaan.

Peguam yang mewakili semua plaintif, Datuk Kamarudin Ahmad ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, pihaknya berpuas hati dengan penghakiman diberikan, sekali gus menggambarkan kepentingan terhadap isu alam sekitar.

“Kita berpuas hati dengan penghakiman ini yang mana mereka telah menang kes ke atas kilang yang dipertanggungjawabkan terbabit dalam pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, termasuk dua pengarah dan juga pemandu lori yang terbabit.

“Penghakiman ini sangat penting kepada isu alam sekitar. Ia bagi memastikan supaya kilang-kilang selepas ini tidak lagi dengan sewenang-wenangnya membuang sisa toksik ke dalam sungai. Ia juga bagi mengekang kontraktor-kontraktor yang tidak bertauliah serta lori atau pemandu yang tidak bertauliah menguruskan sisa toksik berbahaya ini,” katanya.

Seramai 19 saksi plaintif dan 12 saksi defendan dikemukakan sepanjang 20 hari prosiding perbicaraan yang bermula pada 2022.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya kini menunggu tarikh pengurusan kes bagi proses pentaksiran jumlah ganti rugi yang bakal diterima semua plaintif.

“Ini adalah fasa pertama bagi menentukan liabiliti, iaitu siapa yang bertanggungjawab dalam tragedi atau bencana Sungai Kim Kim ini.

“Berhubung taksiran ganti rugi, mahkamah akan menetapkan satu pengurusan kes untuk menentukan tarikh dan butiran lanjut mengenainya,” katanya.

Menurutnya, 42 plaintif yang terdiri daripada pelajar sekolah dan tujuh orang awam menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta, manakala 129 nelayan menuntut RM3 juta bagi kerugian ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here