Keadaan cabang Sungai Kim Kim lokasi dimana penemuaan tong disyaki mengandungi sisa kimia yang dibuang di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah bukan eksekutif sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat dengan tiga lagi individu untuk melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, awal Mac lepas.

Tertuduh, Sim Wei Der, 50, yang merupakan warga Singapura dan menjadi pengarah syarikat itu sejak 2017, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, Sim didakwa bersubahat dengan N.Maridass, 35, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Chao, 34, untuk melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke Sungai Kim Kim dengan menggunakan motolori jenis Mitsubishi dan semi treler tangki minyak sawit, tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 12.01 tengah malam dan 1 pagi, 7 Mac lepas, berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34(B)(4) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak melebihi RM500,000.

Terdahulu, Pengarah Pendakwa Negeri Johor, Amir Nasruddin memohon kepada mahkamah agar Sim tidak dibenarkan diikat jamin kerana mengambil kira perbuatan yang dilakukannya serius sehingga memberi kesan kepada ramai penduduk berikutan terdedah kepada pencemaran itu.

Bagaimanapun, peguam Joshua Tay yang mewakili tertuduh, membantah permohonan itu kerana menurutnya, tertuduh harus mendapat jaminan sepertimana yang telah diberikan kepada Wang (juga warga Singapura) yang turut menghadapi pertuduhan sama, sebelum ini.

Mahkamah kemudian menetapkan Sim diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan selain mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 15 hari bulan sehingga kes itu, selesai.Kes disebut semula pada 23 Mei ini.

Semalam, polis menahan Sim sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 11.17 pagi.

Sebelum itu, dia diburu dan diletakkan dalam senarai orang dikehendaki bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.- BERNAMA

VIDEO BERKAITAN: