BAITULMUQADDIS – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menggesa perlindungan segera diberikan kepada penduduk awam di Tebing Barat, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
ICRC turut memberi amaran bahawa keganasan yang semakin meningkat, sekatan pergerakan yang kian bertambah serta perluasan petempatan yang semakin pesat mendatangkan kemudaratan teruk kepada orang awam sekali gus menjejaskan kehidupan harian mereka.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, ICRC memaklumkan bahawa puluhan rakyat Palestin terbunuh dan ratusan lagi cedera tahun ini, manakala ramai yang terpaksa berpindah selain rumah serta harta benda rosak atau musnah, menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan.
Ketua Delegasi ICRC di wilayah diduduki Julien Lerisson berkata keganasan berulang dan berterusan itu perlu dihentikan segera.
Beliau menegaskan tanggungjawab pihak berkuasa untuk melindungi penduduk daripada keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram, menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, melindungi harta benda awam serta persendirian dan memastikan akses kepada perkhidmatan penting.
Lerisson berkata sekatan pergerakan menjejaskan akses pesakit kepada perkhidmatan kesihatan dan laluan persekolahan kanak-kanak, selain memisahkan penduduk daripada kediaman dan sumber pendapatan mereka, manakala ambulans kadangkala tersekat berjam-jam di pos kawalan dan sekatan jalan raya. – BERNAMA-WAFA
















