KUANTAN – Hampir 19 tahun selepas mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran anaknya, seorang lelaki hari ini didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret 1 Kuantan.
Mohd Fauzi Samsir, 60, turut berdepan hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Ellyna Othman menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Mengikut fakta kes, tertuduh dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan pendaftaran kelahiran anaknya, Fatin Nur Syahiera di kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang pada 4 Disember 2007.
Tertuduh kemudian ditahan dalam Operasi Terancang di JPN Negeri Pahang pada 28 September lalu.
Mohd Fauzi yang tidak diwakili peguam bagaimanapun membayar denda RM4,000 tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Hazri Mohd Hairoudin dan Mohd Nurhisyam Mohd Sofian. – MalaysiaGazette
















