IMBAS KEMBALI. Keadaan cabang Sungai Kim Kim lokasi di mana penemuaan tong disyaki mengandungi sisa kimia yang dibuang di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Kerajaan negeri akan memastikan insiden pencemaran alam sekitar terutama melibatkan Sungai Kim Kim tidak berulang.

Lebih-lebih lagi di Pasir Gudang yang menempatkan banyak sektor perindustrian, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Menurutnya, komitmen itu dapat dilihat melalui inisiatif Rancangan Tempatan Pasir Gudang 2030.

Antara Rancangan Tempatan Pasir Gudang 2030 memperlihatkan hala tuju pembangunan kawasan industri yang akan dilakukan secara terancang pada masa depan.

“Apa yang berlaku di Sungai Kim Kim itu adalah berbalik kepada struktur industri yang tidak terancang kerana kelulusan sebelum ini lebih tertumpu kepada plot-plot tertentu.

“Jadi, kalau kita rancangkan satu industri mereka ini akan duduk di dalam satu tempat di mana kawasan berkenaan akan memiliki pengurusan sisa pepejal dan sisa kimia yang teratur dan terancang. Sampah itu juga akan diproses menjadi sumber tenaga.

“Sebenarnya peringkat kerajaan negeri khususnya Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), kita sedang melihat keseluruhan pembangunan 10 tahun akan datang. Kita selaraskan kerana sebelum ini perancangan itu tidak tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Menara Aqabah petang tadi.

Tambah Mohd. Jafni, program itu akan disusun mengikut zon industri berlainan antaranya industri akuakultur, penempatan penduduk dan penempatan hostel pekerja asing.

“Contohnya, hostel pekerja asing pada ketika ini ada di kawasan perumahan dan ada juga di dalam industri kilang. Jadi, selepas ini kita selaraskan di satu tempat di mana ianya lebih terkawal dan pengawalannya boleh dibuat lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, inisiatif Rancangan Tempatan Pasir Gudang 2030 dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan, maklum balas, bantahan dan rayuan daripada pihak berkepentingan termasuk orang perseorangan, pertubuhan, badan persatuan, pertubuhan badan bukan kerajaan, pemaju dan syarikat swasta dan pertubuhan politik berkenaan cadangan pembangunan di kawasan terbabit.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast