Gambar hiasan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OGOS 2026.

KUANTAN – Seorang peladang kelapa sawit di Kuala Krau, Temerloh kerugian lebih RM300,000 selepas melabur wang simpanan dan hasil pinjaman dalam akaun pelaburan atas talian tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, mangsa yang merupakan lelaki berusia 51 tahun pada mulanya menerima pesanan di aplikasi Whatsapp daripada nombor tidak dikenali pada 11 Ogos lalu.

“Kandungan Whatsapp itu antara lain menawarkan mangsa pelaburan “Prestige Prime” yang menjanjikan tambahan pendapatan kepada mangsa.

“Disebabkan tertarik dengan pelaburan itu, mangsa menekan pautan yang diberikan untuk membuat pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran pelaburan ke akaun yang diberikan.

Mangsa katanya telah melakukan sejumlah 18 transaksi ke dalam sembilan akaun bank berbeza berjumlah RM301,777 melibatkan wang simpanan serta wang pinjaman daripada adik dan rakan mangsa.

“Selepas transaksi dilakukan, mangsa mendapati akaun pelaburannya telah disekat dan mengesyaki ditipu lalu membuat laporan polis. Mangsa juga tidak mendapat sebarang keuntungan hasil pelaburan itu,” katanya lagi.

Mohd Nasyim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau dalam masa sama menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai individu yang menghubungi melalui telefon atau aplikasi media sosial dengan menawarkan pelaburan secara atas talian yang menjanjikan keuntungan lumayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here