PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan untuk membatalkan saman seorang lelaki yang mencabar status agamanya.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid memutuskan bahawa kes yang dikemukakan Shehzad Malik Muhammad Sarwar Malik melibatkan isu keluar daripada agama Islam dan relif yang dipohonnya hanya boleh diberikan oleh Mahkamah Syariah.
“Responden (Shehzad Malik) tidak boleh datang ke Mahkamah Sivil kerana mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan perintah yang dipohon,” kata Hakim Mohd Firuz ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel berkenaan.
Beliau berkata mahkamah berpandangan bahawa dari segi undang-undang, responden dikenal pasti sebagai individu beragama Islam, manakala hakikat bahawa beliau mungkin tidak mempercayai akidah Islam serta tidak mengamalkan ajaran agama itu adalah tidak relevan.
Terdahulu, panel berkenaan menolak bantahan awal yang dibangkitkan peguam Shehzad Malik bahawa rayuan MAIWP dan kerajaan tidak dikemukakan dengan sewajarnya di hadapan mahkamah dan sepatutnya dibatalkan.
Hakim Mohd Firuz memutuskan bahawa rayuan berkenaan adalah kompeten.
Shehzad Malik, 30, memfailkan saman pemula pada Disember 2023 dengan mendakwa bahawa ketika dilahirkan pada Jun 1996, kedua-dua ibu bapanya beragama Islam, namun beliau dibesarkan oleh ibunya sebagai penganut Sikh.
Beliau berkata selepas ibunya meninggal dunia pada 2007, beliau dibesarkan oleh bapa saudaranya yang turut menganut dan mengamalkan agama Sikh.
Shehzad Malik memohon deklarasi mahkamah supaya status agamanya dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) “dipinda dan diperbetulkan” daripada Islam kepada Sikh, selain menukar namanya daripada Shehzad Malik bin Muhammad Sarwar Malik kepada Bilawal Singh Bhutter.
Pada 24 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan MAIWP dan kerajaan untuk membatalkan saman pemula itu, menyebabkan kedua-dua pihak mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Dalam prosiding hari ini, MAIWP diwakili peguam Ahmad Kamal Abu Bakar dan Arik Zakri Abdul Kadir, manakala Peguam Kanan Persekutuan Husniyyah Hanapi mewakili kerajaan.
Shehzad Malik pula diwakili peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Amanda Sonia Mathew. – BERNAMA















