Wakil Perdana Menteri, Tan Sri Johari Abdul berucap pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 bertemakan "MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah" ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Kejayaan agenda antirasuah tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan, pertuduhan atau sabitan, sebaliknya perlu dilihat menerusi keupayaan menutup ruang berlakunya rasuah dan memperbaiki kelemahan sistem.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pencegahan rasuah perlu bermula dengan pengukuhan tatakelola, sistem kawalan yang berkesan, pendidikan serta pembentukan budaya kerja berintegriti.

“Sememangnya penguatkuasaan amat penting. Namun, kejayaan sebenar agenda antirasuah tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan, pertuduhan atau sabitan.

“Ukuran yang lebih besar ialah sama ada kita berjaya menutup ruang berlakunya rasuah, memperbaiki kelemahan dalam sistem dan membina budaya organisasi yang benar-benar menjunjung integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026, hari ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mengetengahkan sebanyak 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.

Katanya, peranan semak dan imbang Parlimen turut diperkukuh menerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), termasuk melalui prosiding berkaitan pengurusan dan penggunaan wang awam.

“Usaha ini mencerminkan peranan Dewan Rakyat yang bukan sahaja menjadi medan perbahasan dan penggubalan undang-undang, tetapi turut memainkan fungsi penting dalam memastikan akauntabiliti, ketelusan dan tatakelola yang baik terus menjadi asas dalam pentadbiran negara,” katanya.

Johari berkata, pencegahan rasuah perlu dilakukan sebelum sesuatu kes berlaku, termasuk menerusi tatakelola yang baik, sistem kawalan berkesan, pendidikan, budaya kerja dan nilai yang ada dalam diri setiap individu.

Katanya, perkembangan teknologi termasuk analitik data dan kecerdasan buatan turut membuka ruang baharu untuk meningkatkan ketelusan serta mengenal pasti risiko rasuah lebih awal.

“Namun, teknologi hanyalah alat. Pada akhirnya, kekuatan sesebuah sistem tetap bergantung kepada manusia yang mengendalikannya serta nilai integriti, amanah dan tanggungjawab yang menjadi pegangannya,” katanya.

Beliau turut menegaskan Unit Integriti dalam setiap organisasi perlu diperkasakan sebagai rakan strategik kepada pengurusan, bukannya sekadar unit yang mengurus aduan atau pematuhan selepas berlaku sesuatu pelanggaran.

“Unit Integriti perlu menjadi rakan strategik kepada pengurusan tertinggi dalam membina budaya integriti dan mencegah risiko rasuah sejak dari awal,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Unit Integriti yang lebih besar ialah apabila risiko dapat dikenal pasti lebih awal, kelemahan sistem dapat diperbaiki dan budaya integriti menjadi sebahagian daripada DNA organisasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here