Situasi pencemaran udara yang berlaku ekoran pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak menghalang dua kanak-kanak mencari rezeki di muara Sungai Kim Kim, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

BARU-baru ini, ada desas-desus yang menyatakan bahawa Sungai Kim Kim di Pasir Gudang kini tercemar lagi. Hal tersebut kemudiannya mendapat liputan media massa yang beranggapan bahawa pencemaran kali ini adalah berkemungkinan lebih teruk daripada dua tahun yang lalu.

Isu ini juga turut mendapat perhatian khusus daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Menurut pihak-pihak yang berwajib, pemantauan serta
pemeriksaan terhadap kualiti air Sungai Kim Kim telah dilakukan oleh JAS pada pagi 8 Mac 2021 untuk mengenalpasti kesahihan aduan yang diterima.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Tuan Ibrahim Tuan Man, seramai 11 tugas telah
diarahkan untuk membuat kajian lebih lanjut berkenaan perkara ini. Ini menunjukkan kesihatan pihak berwajib dalam memastikan kebersihan air Sungai Kim Kim.

Sumber menyatakan bahawa persampelan air sungai yang telah dibuat mendapati bahawa kualiti DO dan pH air Sungai Kim Kim berada dalam lingkungan julat normal. Hal ini bermaksud bahawa air Sungai Kim Kim masih selamat daripada pencemaran sisa-sisa yang berunsur kimia ataupun unsur-unsur yang boleh mengancam kesihatan.

Ada yang mendakwa bahawa air Sungai Kim Kim seakan-akan kelihatan hitam warnanya.
Namun, sumber berkata perkara ini tidak dapat disahkan oleh JAS. Ada kemungkinan ini
bukanlah suatu insiden yang melibatkan keseluruhan 1.5 kilometer jalur Sungai Kim Kim.

Selain itu, pihak JAS juga telah menjalankan operasi pemantauan menerusi dron di sepanjang Sungai Kim Kim untuk siasatan lebih lanjut. Setakat ini, operasi tersebut masih belum dapat mengenalpasti punca-punca pencemaran seperti yang didakwa penduduk setempat.

Sudah tentunya, pihak JAS akan berkongsi maklumat sekiranya aktiviti-aktiviti yang meragukan, seperti pembuangan sisa-sisa toksik, dapat dikesan menerusi pemantauan secara menyeluruh ini. Bahkan, operasi drone JAS akan diteruskan secara berkala untuk memastikan Sungai Kim Kim tidak tercemar lagi.

Berikutan itu, penduduk setempat disarankan untuk menyalurkan aduan dan informasi secepat mungkin kepada pihak yang berwajib sekiranya terdapat punca-punca yang disyaki boleh mencemarkan Sungai Kim Kim. Perkara serius sebegini tidak seharusnya hanya dikongsi di laman media sosial untuk mengelakkan salah faham ataupun penularan berita yang tidak tepat.

Tanpa laporan daripada penduduk setempat, adalah sukar untuk pihak-pihak berwajib
bertindak secara tuntas untuk mengesahkan pemberitaan di media massa. Hal ini penting
kerana tanpa siasatan lebih lanjut, maklumat yang dikongsi kepada umum adalah hanya
berdasarkan pemerhatian kasar dan bukan secara saintifik.

Ketidaktepatan pemerhatian sedemikian boleh menimbulkan keresahan kepada penduduk
setempat, lebih-lebih lagi apabila perkara ini boleh dimanipulasi mereka yang tidak
bertanggungjawab. Umum sedia maklum bahawa ramai dalam kalangan penduduk Pasir
Gudang masih terkesan akibat insiden dua tahun lepas. Oleh itu, masyarakat tidak seharusnya mengeruhkan trauma masyarakat yang sedia ada.

Lebih penting lagi, penyaluran aduan kepada pihak berwajib juga dapat membolehkan siasatan digerakkan sebelum bukti-bukti pencemaran hilang dilokasi kejadian.

Tanpa adanya kerjasama ini, pencemar alam sekitar akan memastikan pelepasan sisa akan hanya dilakukan selepas ketiadaan para wartawan.

Sebaliknya, kerjasama yang erat antara penduduk setempat dan pihak berwajib akan
membolehkan pencemar alam sekitar diberkas dengan lebih berkesan menerusi pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih strategik.

Bahkan, pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air, JAS, kerajaan negeri Johor dan pihak polis juga dapat menjamin bahawa bukan sahaja pencemar alam sekitar akan diberkas, bahkan kilang-kilang yang terlibat akan turut ditutup dan pengurusannya didakwa di mahkamah.

Kali ini, pencemar alam sekitar boleh dihukum dengan hukuman yang lebih berat berikut
penambahbaikan kepada Seksyen 12 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang telah
mendapat kelulusan Jemaah Kabinet.

Oleh itu, adalah penting untuk masyrakat setempat dan pihak-pihak berwajib menjalin
persefahaman yang utuh dalam usaha mencegah pencemaran alam sekitar agar tragedi Sungai Kim Kim dua tahun yang lalu tidak akan berulang lagi.

Pengarahnya Dr Famey Yusoff berkata, daripada sampel air yang diambil bagi mengukur kualiti air sungai berkenaan, didapati bacaan parameter Oksigen Terlarut (DO) adalah dalam lingkungan 3.5-3.8 mg/l dan nilai pH pula lingkungan 8.2 iaitu julat normal. Diharapkan dengan kepastian ini orang ramai seharusnya berhenti berkongsi apa-apa maklumat palsu atau fakenews mengenai isu Sungai Kim-Kim ini.

 

Syed Kamal, warga prihatin

1 Komen

Comments are closed.