GEORGE TOWN – Penduduk Sungai Nibong Besar, di sini, menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap pemandu sebuah kereta yang didakwa menimbulkan suasana tidak harmoni ketika upacara pengebumian Pegawai Memerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Muhammad Firdaus Ramli berhampiran Masjid Jamek Sungai Nibong Besar pada Rabu lalu.

Wakil penduduk, Arshad Kassim, 62, berkata, beliau serta penduduk Sungai Nibong Besar rasa kecewa dengan tindakan pemandu kereta Honda City yang dilihat seolah-olah tidak menghormati kawasan masjid serta upacara yang berlangsung.

“Saya membuat laporan ini supaya pihak polis dapat melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang didakwa telah menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Kita gesa siasatan terhadap lelaki itu dikaitkan dengan 3R ((raja, kaum, agama) kerana tindakannya mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Nibong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Arshad meminta polis menyiasat semula dakwaan dalam laporan pemandu berkenaan.

“Kita percaya laporan yang dibuat pemandu itu tidak betul selain faktanya telah diputar belit dengan alasan ada pelanggaran motosikal sedangkan tiada motosikal di situ.

“Alasan tidak tahu mengenai upacara juga tidak masuk akal kerana kawasan itu dikawal baik pihak berkuasa.

“Malah, dalam laporan yang dibuat pemandu itu seolah-olah menggambarkan kariah dan penduduk sini seperti samseng sedangkan dia tidak mengaku kesilapannya. Jadi biar polis siasat perkara sebenar dan ambil tindakan lanjut,” katanya.

Media semalam melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pemandu kereta susulan kekecohan ketika upacara pengebumian Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, di Masjid Jamek Sungai Nibong seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun itu telah dilanggar oleh motosikal di bahagian kanan kereta ketika berada di jalan raya berhadapan masjid itu kira-kira jam 7.45 malam.

“Pada masa sama, pengadu (lelaki itu) mendapati ramai orang awam telah mengepung kereta dan pengadu telah tertekan hon kereta akibat berasa panik dengan keadaan semasa itu.

“Tiba-tiba kereta pengadu telah dikerumuni orang ramai dan kereta pengadu mengalami sedikit kerosakan.

“Bagaimanapun kekecohan berjaya dileraikan oleh anggota polis dan TLDM yang berada di lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast