Pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual mungkin berdepan hukuman denda lebih berat sehingga RM15 juta.- Gambar hiasan.
JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat warga Singapura yang dikehendaki berhubung kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, bulan lepas, menyerah diri hari ini.
Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata lelaki berusia 49 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada pukul 11.17 pagi.
Katanya, suspek kini ditahan di lokap IPD Seri Alam.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 34B Akta Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 42 akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, polis Johor dilaporkan mengesan seorang pemilik kilang warga Singapura bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.
Lelaki itu kemudiannya diletakkan dalam senarai orang dikehendaki dan pihaknya telah memohon bantuan pihak berkuasa Singapura untuk menahan lelaki tersebut.- BERNAMA