KUANTAN – Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas dengan pihak berkaitan bagi membincangkan isu pengusaha chalet dan kawasan peranginan di Janda Baik, Bentong yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, pihaknya akan meneliti dakwaan empat kawasan yang dikatakan terlibat dan mencari penyelesaian bagi membantu pengusaha terbabit.
“Esok akan diteliti bersama pihak Pejabat Daerah dan Tanah Bentong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Jelajah Duta Hospitaliti Moh Ke Pahang 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, Leong berkata, program Jelajah Duta Hospitaliti Moh Ke Pahang berjaya melibatkan seramai 1,000 orang peserta terdiri daripada pelbagai segmen industri pelancongan dan hospitaliti yang diangkat menjadi Duta Hospitaliti dari seluruh negeri.
“Program ini dilaksanakan merangkumi 13 kawasan di seluruh negeri menunjukkan bahawa kami serius memberikan latihan, kemahiran dan pengetahuan bagi memastikan mereka dapat meningkatkan kemahiran dan kualiti perkhidmatan dalam sektor ini,” katanya.
Beliau berkata, peserta terdiri daripada individu berusia 18 hingga 60 tahun meliputi pemain industri seperti pengusaha hotel, rumah inap, restoran, tempat dan produk pelancongan, selain individu yang berminat dalam sektor berkenaan serta agensi kerajaan.
Usaha tersebut katanya, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan industri pelancongan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan pemain industri dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengunjung.
la juga melengkapi usaha mempromosikan Pahang sebagai destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada kepelbagaian produk dan tarikan pelancongan, tetapi juga kepada pengalaman serta kualiti layanan yang diterima oleh pelancong sepanjang berada di negeri ini. – MalaysiaGazette
















