JAS melakukan pantauan di Sungai Kim Kim yang didakwa tercemar kembali

Sungai Kim Kim didakwa kembali tercemar dan bewarna hitam

JAS melakukan pantauan di Sungai Kim Kim yang didakwa kembali tercemar.
Pengukuran kualiti air sungai turut dijalankan Unit Pengawasan JAS Johor di beberapa lokasi di sepanjang sungai tersebut.
By:Ernalisa Othman
PASIR GUDANG – Pencemaran Sungai Kim Kim, di sini, kembali dikesan baru-baru ini selepas penduduk mendakwa  airnya hitam serta berbau busuk menerusi satu perkongsian Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon.
PASIR GUDANG – Pihak berkuasa mengesan pencemaran Sungai Kim Kim, di sini, selepas penduduk mendakwa airnya kembali hitam serta berbau busuk.
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Unit Penguatkuasa Industri JAS bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim setelah menerima laporan untuk menjalankan siasatan susulan aduan awam pencemaran sungai itu pada jam 10 malam.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati air sungai bewarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan seperti mana aduan yang diterima.
“Pasukan telah mendapatkan butiran maklumat kejadian dari penduduk sekitar untuk memperkemaskan siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon turut menyatakan perkara yang sama menerusi hantaran pada laman Facebook.
Menurut kenyataan itu lagi, tiga hari lalu pasukan JAS dari cawangan Pasir Gudang juga telah menyusuri kawasan Sungai Kim Kim dan melakukan pemantauan melalui dron bagi mengenal pasti punca yang disyaki menyebabkan pencemaran tersebut.
Pengukuran kualiti air sungai turut dijalankan Unit Pengawasan JAS Johor di beberapa lokasi di sepanjang sungai tersebut.
“Siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa dari premis bukan industri,” jelasnya.
Berdasarkan siasatan lanjut, JAS mendapati premis tersebut sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran.
Persampelan telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Premis diminta menjalankan langkah pembaikan segera dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.
“Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke [email protected] atau ke portal aduan https://[email protected],” katanya . -MalaysiaGazette