Mas Imran membantu anak Muhammad Zulkefli mencuba baju sekolah selepas menyampaikan bantuan kepada kelaurganya di Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Seorang operator pengeluaran kilang bimbang dengan masa depan isteri dan empat anaknya selepas tidak dapat bekerja akibat kemalangan di sini pada 12 November lalu.

Muhammad Zulkefli Abd Rahman, 46, berkata, kemalangan itu menyebabkan kecederaan teruk dan doktor terpaksa membuang limpa selain paru-paru, buah pinggang dan usus turut cedera.

Kejadian itu turut menyebabkan dia patah tulang pinggul dan retak sebahagian tulang belakang.

“Saya cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, saya koma selama beberapa hari di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kebimbangan saya adalah soal persekolahan dan makan minum anak-anak selepas ini kerana sehingga sekarang saya masih tidak mampu bekerja,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima sumbangan kelengkapan sekolah disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di kediamannya di Taman Scientex di sini hari ini.

Muhammad Zulkefli berkata, dia dan isteri, Hasliana Mat, 44, yang tidak berkerja meneruskan kehidupan seharian seadanya.

Sementara itu, Hasliana merakamkan ucapan terima kasih kepada Pasaraya Econsave atas sumbangan tersebut dalam keadaan suaminya cuti daripada bekerja dan tiada pendapatan ketika ini.

“Dalam keadaan suami yang masih berulang-alik ke hospital dan masih tidak dapat bekerja, kami tidak memikirkan soal membelikan kelengkapan sekolah bagi anak.

“Sememangnya sumbangan ini amat bermakna. Kebanyakan kelengkapan sekolah anak-anak terutama beg sekolah dan kasut yang lama tidak boleh digunakan tahun depan,” ujarnya.

Katanya, tiga anak mereka berusia tujuh hingga 11 tahun bersekolah rendah.

“Kami berdepan ujian berat apabila hilang punca pendapatan selain perlu membiayai kos RM500 sebulan bagi membeli ubat paru-paru bagi suami,” katanya.

Hasliana berkata, tambahan pula proses penyembuhan suaminya juga dijangka memakan masa dan Muhammad Zulkefli masih berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Menurutnya, paha kanan suaminya semakin membengkak dan doktor mengesyaki terdapat darah beku di paha kanan.

“Dia masih tidak dapat berjalan seperti biasa dan mengadu sakit badan, kami tidak pasti berapa lama tempoh penyembuhannya. Kami bernasib baik kerana jiran serta saudara-mara juga prihatin dengan nasib keluarga,” katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya berharap sumbangan kelengkapan sekolah dan dapur bernilai RM1,000 dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun bank milik Muhammad Zulkefli di Alliance Bank 011670027002298.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast