KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Menara Dato Onn, di sini malam ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadirinya, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menerusi gambar yang dikongsi di Facebook UMNO Online, kemunculan bekas Ahli Parlimen Baling itu mendapat perhatian rakan-rakan MKT lain yang dilihat bertanya khabar tentang perkembangan dirinya.
Abdul Azeez yang direman dua hari bagi membantu siasatan kes berkaitan pemberian hibah institusi itu dibebaskan sekitar pukul 3 petang tadi.
Terdahulu, beliau bersama dua bekas pegawai TH direman dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000, 12 tahun lalu. – MalaysiaGazette

















