Zainul Rijal Abu Bakar. foto Facebook

KUALA LUMPUR – Adalah penting untuk memahami bahawa keputusan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu keputusan yang dibuat melalui proses pengundian atau undi majoriti oleh anggota Lembaga Pengampunan.

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Lembaga Pengampunan merupakan institusi yang diwujudkan oleh Perlembagaan dan mempunyai fungsi untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan.

Jelasnya, kuasa memberikan ampun, menangguhkan hukuman atau meringankan hukuman pula adalah kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, ujarnya, perbahasan mengenai pengampunan perlu diletakkan dalam kerangka Perlembagaan, bukan kerangka demokrasi pengundian biasa.

“Lembaga Pengampunan bukan sebuah “jawatankuasa pengundian” yang keputusannya ditentukan oleh majoriti ahli, sebaliknya ia sebahagian daripada mekanisme perlembagaan yang menyalurkan nasihat kepada YDPA (Agong),” katanya menerusi laman Facebooknya malam ini.

Terdahulu media melaporkan, Lembaga Pengampunan dijangka bersidang esok dengan permohonan berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipercayai antara perkara yang akan diberi perhatian.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebelum ini turut mengesahkan Lembaga Pengampunan dijadualkan bersidang pukul 8.30 pagi esok, namun enggan mengulas lanjut mengenai agenda mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan mesyuarat esok itu menunda salah satu agenda persidangan iaitu berkaitan Najib, namun maklumat terperinci mengenai alasan penundaan masih belum diperoleh.

Penangguhan tersebut mencetuskan perhatian berikutan mesyuarat itu sebelum ini dikaitkan dengan permohonan bekas Perdana Menteri untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here