Antara mahasiswa yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival FlySiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

SHAH ALAM – Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYSiswa daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari 2025.

Perkara itu diumumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Flysiswa 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, hari ini.

“Saya umumkan (bantuan subsidi pembelian tiket) naik RM400,” katanya.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, , Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Karnival FlySiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

Bantuan itu bakal memanfaatkan kepada lebih 74,500 pelajar daripada universiti awam, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan matrikulasi seluruh negara dengan menggunakan kos sebanyak RM24 juta.

Inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan pelajar yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Semenjak pelaksanaan inisiatif tersebut pada 2023 hingga 10 Disember 2024, seramai 74,500 orang pelajar (73 peratus) daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak telah menerima manfaat daripada bantuan subsidi tiket penerbangan ini.

Ia merangkumi 37,551 (75 peratus) daripada 50,095 pada tahun 2023 dan 36,949 pelajar atau 71 peratus daripada keseluruhan 52,055 pelajar sehingga 10 Disember 2024, telah menebus baucar digital masing-masing dengan syarikat-syarikat penerbangan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast