BATU GAJAH – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) lembam dan menghidap penyakit asma dilaporkan hilang, selepas dipercayai masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di belakang kediamannya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 29, dilaporkan hilang selepas abangnya menyedari mangsa tiada di rumah dan mendapati pintu belakang kediaman terbuka.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.38 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah kemudiannya digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR).
“Hasil perbincangan ketua operasi bersama pihak polis, operasi pencarian dilakukan dengan membahagikan anggota kepada enam kumpulan.
“Pencarian dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit sejauh kira-kira 700 meter dari rumah mangsa, termasuk kawasan berpaya.
“Pasukan bomba turut dibantu pihak polis dan Unit Anjing Pengesan (K9) polis dalam usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan selepas perbincangan bersama pihak polis.
“Pencarian akan disambung semula pada 8 pagi esok dengan melibatkan tiga sektor utama iaitu kawasan paya, lombong dan tali air.
“Operasi turut akan diperkuatkan dengan bantuan anggota dari balai bomba berhampiran serta Unit Anjing Pengesan (K9) bomba,“ ujarnya. – MalaysiaGazette
















