Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tampil menafikan dakwaan beliau merupakan pemilik Hospital Bersalin Razif yang terpalit kontroversi ‘menahan’ jasad bayi lelaki dan dibekukan selama dua minggu.

Penafian itu dilakukan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu selepas menerima kemarahan orang ramai melalui media sosial susulan isu yang melibatkan Hospital Bersalin Razif.

Dalam hantaran penafian di Facebook, beliau meminta orang ramai bertenang selepas menerima komen dan mesej bertali arus luahan kemarahan orang ramai selepas disangka sebagai pemilik hospital terbabit.

Beliau menjelaskan sehingga kini dia hanya mempunyai pusat rehabilitasi dan secara melawak memohon doa daripada mereka yang meluahkan kemarahan untuk berdoa supaya beliau akan membuka sebuah hospital pada masa akan datang.

“Mohon bertenang semua. Bertalu-talu saya terima mesej dan komen di sosial media hari ni pakat duk maroh ke saya. Saya bukan owner (pemilik) Hospital Bersalin Razif deh. Saloh orang ni.

“Saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus je. Kalau nok booking untuk rawatan fisio dan rehabilitasi, boleh contact nombor 09-6669698 atau 010-3429865.

“Hospital bersalin takdok lagi setakat ni. Mohon doalah belaka moga suatu hari nanti boleh buka hospital pulok,” katanya dalam loghat Terengganu.

Gagal lunas bil, jasad bayi disimpan? Hospital Bersalin Razif tampil beri penjelasan

Sebelum ini, tular di media sosial apabila Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai insiden terbabit sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi bernama Muhammad Adham Mikail kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya kerana telah ‘ditahan’ dan dibekukan selama dua minggu gara-gara bapa dikatakan tidak mampu melunaskan bil hospital.

Pihaknya terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendi anak syurga terbabit.

Hospital Bersalin Razif bagaimanapun menafikan dakwaan tular pihaknya ‘menyimpan’ jenazah bayi dan melarang disemadikan lebih awal.

HBR dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook menjelaskan, ibu bayi itu diterima masuk ke hospital atas dasar kemanusiaan.- MalaysiaGazette

Jenazah bayi ‘ditahan’: Orang ramai dinasihat bersabar, tunggu KKM dapat maklumat penuh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.