KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinikal merujuk dirinya sebagai `Guru’ ketika berkongsi ketibaannya di New Delhi, India malam ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata: “Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.”
Beliau turut memohon doa supaya misi diplomasi negara itu mencapai matlamatnya.
“Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” katanya lagi.
Anwar kini berada di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam di sini pada 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Sidang kemuncak itu yang akan dihoskan oleh Modi, membawa tema “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Jan 2025
Beberapa jam selepas tiba di ibu negara India, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 hari ini mencuri tumpuan apabila secara sinis menggesa ‘guru’ supaya mendengar suara rakyat dan tidak terus membutakan mata serta menulikan telinga terhadap keresahan yang berlaku.
Tanpa menyebut nama secara langsung, Ahmad Zahid berkata, pihak berkenaan perlu menghentikan pendekatan yang boleh menyemarakkan keresahan, kegelisahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Cukup-cukuplah, guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup-cukuplah!
“Insya-Allah, kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat,” kata Ahmad Zahid.
Untuk rekod, istilah ‘cikgu’ atau ‘guru’ bermula daripada rakaman audio perbualan telefon yang tular pada April 2021 dipercayai berkait rapat antara Ahmad Zahid dan Anwar. – MalaysiaGazette
















