TEMERLOH – Seorang pemandu lori hari ini berdepan empat pertuduhan membunuh empat individu dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) bulan lalu.
Tertuduh, Zulkarnain Md Noh, 52, didakwa atas kesemua pertuduhan dalam prosiding yang dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh hari ini di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.
Mengikut kertas pertuduhan, Zulkarnain didakwa membunuh Muhammad Nazatullah Nazmi, 32; Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32; Muhammad Armaan Nazeef Muhammad Nazatullah, 4 dan Seow Beng Wai, 55 di KM110.3 LPT arah timur, dalam daerah Temerloh, kira-kira jam 10.30 malam pada 31 Ogos lalu.
Bagi kesemua kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah turut dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















