KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh berpendapat UMNO boleh kembali bersatu dengan Pas dalam arena politik negara ini.
Bekas Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Veteran UMNO itu berkata, penyatuan itu kedua parti itu merupakan satu usaha yang baik untuk direalisasikan.
“Saya rasa itu bagus, kita boleh bersatu semula, Insya-Allah berkat doa semua,” katanya ketika ditemui media selepas Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Sebelum itu, Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin Pas diketuai naib presidennya, Datuk Idris Ahmad bersama Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu, Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li turut berharap lebih ramai bekas ahli UMNO kembali menyertai parti itu sebagai satu keluarga yang besar.
Jelas beliau, ia kerana UMNO kini memikul banyak tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Patutnya masuk balik dan kita semua mengalu-alukan mereka. Masuk balik ke dalam UMNO, kita hendak satu keluarga yang besar.
“Banyak tanggungjawab yang kita kena pikul dan kita perlukan tenaga dan buah fikiran untuk menyelesaikan masalah terutama orang muda,” katanya.
Tengku Razaleigh, 91, merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.
Kerabat Kelantan itu merupakan bekas Menteri Kewangan dan tokoh kewangan global. – MalaysiaGazette
















