Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi dijadikan sekadar ‘stesen transit’ politik oleh individu yang meninggalkan parti apabila tidak mendapat jawatan atau peluang menjadi calon.

Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, UMNO dibina atas dasar kesetiaan, pengorbanan dan disiplin perjuangan, bukannya jawatan atau kepentingan peribadi.

Menurut beliau, seseorang yang telah diberikan ruang dan kepercayaan menerusi platform UMNO perlu terus setia kepada parti walaupun tidak lagi memegang jawatan atau mendapat peluang bertanding dalam pilihan raya.

“Kesetiaan inilah yang membezakan antara pejuang dan penumpang. Apabila seseorang diberikan ruang dan kepercayaan atas platform UMNO, maka kesetiaan kepada parti bukan lagi suatu pilihan tetapi kewajipan moral dan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyokong usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mohd Isam berkata, tindakan meninggalkan parti apabila kepentingan atau jawatan tidak lagi diperoleh perlu dijadikan iktibar kerana ia bukan sekadar melibatkan individu, tetapi turut memberi kesan terhadap maruah dan disiplin parti.

“Maka UMNO tidak boleh lagi diumpamakan seperti stesen transit politik oleh individu sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kepimpinan parti memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk mengasah kepimpinan mereka, termasuk memastikan peruntukan Perlembagaan UMNO Fasal 15.1.8 berkaitan empat anggota bawah 30 tahun dalam jawatankuasa bahagian dilaksanakan.

Beliau turut meminta pemilihan calon pilihan raya dibuat berdasarkan penerimaan akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian, bukannya kerana hubungan peribadi dengan pemimpin tertentu.

“Hentikan amalan menjadikan seseorang itu sebagai calon atas dasar dia itu kawan kita. Hentikan amalan memilih seseorang itu sebagai calon atas dasar mengikut selera kita tanpa mendengar pandangan akar umbi,” katanya.

Mohd Isam turut mengingatkan ahli UMNO supaya terus akur terhadap keputusan parti apabila sesuatu keputusan telah dibuat dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Katanya, UMNO juga perlu memberi kepercayaan kepada Presiden untuk menentukan hala tuju parti dalam menghadapi PRU-16 yang semakin hampir.

“Beri ruang dan kepercayaan kepada Presiden untuk menentukan hal tuju parti untuk mendepani PRU yang sudah tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here