KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya memperoleh Perintah Larangan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi melarang pihak-pihak tertentu untuk berurusan dengan harta-harta melibatkan dana berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$340 juta di luar Malaysia yang sekarang ini dalam simpanan Court Fund Office, United Kingdom.
Perintah larangan ini diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 10 Disember 2024 selepas berpuas hati dengan bukti dikemukakan pihak pendakwaan yang menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Perintah ini juga sekali gus turut menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada mengakses dana berkenaan, katanya dalam kenyataan di sini.
Perintah Larangan ini dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001) berdasarkan permohonan yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 2020.
Sebelum ini, pada 13 Mac 2024, SPRM juga turut berjaya mendapatkan Perintah Larangan ke atas 41 barangan kemas di Hong Kong bernilai Pound Sterling (GBP) 9,417,842.60 milik Tarek Obaid. – MalaysiaGazette