Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim terus mengambil pendirian bertentangan dengan kerajaan apabila menggesa Dewan Rakyat hari ini tidak menyokong rumusan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut Hassan, rumusan RCI itu sekiranya disokong dan diluluskan bermakna Dewan Rakyat bersetuju supaya laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sedangkan, ujar beliau, Dr. Mahathir yang disifatkan banyak berjasa kepada negara tidak selayaknya menerima layanan sedemikian rupa.

“Jika Tun M (Dr. Mahathir) diheret ke balai polis, dibawa ke mahkamah dan didapati bersalah, hukuman di bawah Seksyen 415B ini penjara sampai lima tahun.

“Tun M ini sudah berusia hampir 100 tahun, sudah (beberapa kali) keluar masuk IJN (Insititut Jantung Negara), sanggupkah kita buat seperti ini kepada bekas Perdana Menteri kita?

“Tan Sri (Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) pun tahu saya bukan pentaksub Tun M, saya adalah pengkritik Tun M sejak muda lagi, pengkritik tegar, tetapi kita hendaklah berlaku adil.

“Saya minta kalau belum ada laporan polis dibuat, janganlah buat…cukup-cukuplah.

“Takkanlah langsung Tun M ini tidak ada jasa kepada negara kita,” katanya ketika membahaskan usul laporan RCI itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Hassan turut mengingatkan tindakan menghukum Dr. Mahathir tidak akan mengembalikan semula Batu Puteh kepada Malaysia.

Sementelah, ujar beliau, Dr. Mahathir juga bukan Perdana Menteri ketika perbicaraan pada peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Batu Puteh tersebut.

Dalam masa sama, kata beliau, Malaysia juga tidak kalah semua dalam keputusan ICJ itu kerana kedaulatan Batuan Tengah masih berpihak kepada negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Aikkkk..kenapa double standard? DS Najib tak berjasa kpd negara kaaa sampai korang layan dia mcm anjing kurap

Comments are closed.