KUALA LUMPUR – Insiden kejadian sesak nafas dan muntah-muntah yang dialami 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor hari ini seakan sama seperti simptom yang berlaku kepada pesakit yang terkesan akibat pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan akan menghubungi Pengarah Kesihatan Johor untuk mengetahui situasi semasa mengenai kejadian itu.
Katanya, maklumat awal kes tersebut mendapati murid-murid mengalami simptom seperti muntah dan sesak nafas.
“Kejadian itu berkemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik sama seperti kes Sungai Kim Kim.
“Setakat ini situasi masih terkawal dan kita akan pantau situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk menentukan punca dan tahap pencemaran udara yang berlaku,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Dalam insiden hari ini, seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas dipercayai terhidu udara tercemar.
Pemeriksaan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang mendapati, berlaku pencemaran udara yang mengakibatkan murid-murid terbabit mengalami simptom tersebut.
Pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Pasukan Emrs BBP Johor Bahru telah sampai ke lokasi untuk bantuan BBP Pasir Gudang.
Dalam pada itu, menurut Dzulkefly, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada pihak kementerian akan mengeluarkan arahan kepada sekolah berkenaan untuk ditutup ekoran kes tersebut – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/20/15-murid-sesak-nafas-akibat-pencemaran-udara/