Mohd Jafni

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan membuat rayuan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung hukuman kepada pesalah setimpal dengan kesalahan dilakukan ekoran pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada  2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, rayuan itu untuk membolehkan hukuman denda selayaknya dikenakan terhadap pesalah pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim yang menyebabkan hampir 2,000 orang dengan 947 menerima rawatan di hospital.

Katanya, adalah wajar penguatkuasaan lebih keras dilaksanakan.

“Mengulas isu denda yang dikenakan terhadap pelaku pencemaran Sungai Kim Kim, kerajaan negeri akan membuat rayuan kepada DPP untuk melihat semula.

“Kami sudah tentu akan mengambilkira dari segi denda yang dikenakan, dengan apa yang kerajaan belanja dan apa kesan kepada masyarakat sekitar adakah berbaloi atau tidak berbaloi,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Pada 30 November lalu, media melaporkan seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada empat tahun lepas.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan N. Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Sungai Kim Kim antara 14 sungai tercemar di Johor.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemandu lori didenda RM100,000, syarikat RM320,000 cemari Sungai Kim Kim