KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menafikan beliau berada dalam mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menandatangani surat pengisytiharan menyingkirkan Tuanku Muhriz Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Presiden UMNO itu menjelaskan penglibatan beliau dalam majlis tersebut juga telah dinafikan Ismail sendiri.
Beliau juga turut menolak spekulasi bahawa Ismail telah menghantar surat jawatan Menteri Besar.
“Tak ada, tak ada (surat MB letak jawatan). Saya tak ada (dalam majlis). Dia (Ismail) sudah nafikan dah. Yang saya memang tak ada dalam itu,” katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Hari ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan beliau menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa rela dan secara paksaan.
Sehubungan itu katanya, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berpendapat, kenyataan Ismail perlu diakui sah di sisi undang-undang oleh peguamnya yang berada ketika majlis menandatangani surat cara proklamasi itu.
“Saya rasa elok kalau kenyataan itu diabsahkan oleh peguam sendiri jika peguam itu berada ketika penandatanganan proklamasi itu dikeluarkan.
“Dan, kita dengar akan mungkin sidang media yang akan diadakan dalam waktu yang paling terdekat dan dalam perkara ini, UMNO menghormati institusi Raja dan juga institusi undang serta adat di Negeri Sembilan dan sebaik mungkin kita tidak akan mengotorkan tangan untuk demi menyantuni situasi di Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah memaklumkan proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026 di Port Dickson, dalam Luak Sungei Ujong adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.
Jelas beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai 2026 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – MalaysiaGazette

















