Dr. Chan Eng Heng menerima anugerah Merdeka Award yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyifatkan penganugerahan Merdeka Award 2026 kepada Profesor Dr. Chan Eng Heng dalam kategori Outstanding Contribution to Environment and Planetary Health sebagai pengiktirafan bermakna terhadap kecemerlangan penyelidikan, pemuliharaan dan sumbangan berterusan dalam melindungi penyu negara.

Penganugerahan berprestij itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Dr. Chan sepanjang lebih empat dekad dalam bidang penyelidikan dan konservasi penyu, malah mencerminkan nilai sebuah penyelidikan yang konsisten, berasaskan bukti saintifik dan diteruskan merentasi generasi.

Bagi UMT, pengiktirafan tersebut mempunyai makna yang amat istimewa kerana perjalanan akademik dan legasi Dr. Chan berkait rapat dengan universiti ini, khususnya melalui penubuhan Sea Turtle Research Unit (SEATRU) bersama Profesor Madya Liew Hock Chark pada tahun 1984.

Bermula dengan penyelidikan terhadap penyu belimbing di Terengganu, SEATRU berkembang menjadi sebuah ekosistem penyelidikan dan pemuliharaan yang menggabungkan penyelidikan saintifik, pemantauan populasi, perlindungan habitat, pendidikan, pembangunan bakat serta penglibatan masyarakat.

Penyelidikan awal yang dijalankan oleh Dr. Chan dan beberapa rakan penyelidik lain turut menyediakan asas saintifik penting kepada usaha perlindungan penyu belimbing, termasuk langkah penubuhan Rantau Abang Restricted Fishing Zone.

Lebih penting, legasi penyelidikan tersebut tidak terhenti selepas Dr. Chan bersara daripada universiti pada 2009.

Sebaliknya, UMT terus memastikan penyelidikan berkaitan penyu dikembangkan dan diwariskan kepada generasi penyelidik seterusnya.

Antara kesinambungan paling signifikan ialah usaha pemantauan penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang yang telah berlangsung sejak awal 1990-an dan menjadi sebahagian usaha penting daripada program penyelidikan serta konservasi UMT.

Program sukarelawan SEATRU yang diperkenalkan pada 1998 pula memperluas penglibatan masyarakat dengan memberi peluang kepada sukarelawan untuk terlibat secara langsung dalam kerja pemantauan, penyelidikan dan pemuliharaan penyu.

Perjalanan ini memperlihatkan kekuatan dan keupayaan penyelidikan tersebut untuk menghasilkan pengetahuan, mempengaruhi pemuliharaan, membina kapasiti manusia dan diteruskan secara berterusan dalam jangka panjang.

Bagi UMT, kejayaan Dr. Chan merupakan contoh jelas bagaimana penyelidikan asas yang dibina dengan tekun sejak puluhan tahun mampu berkembang menjadi sebuah legasi ilmu yang memberi manfaat kepada negara.

Pada masa yang sama, pencapaian ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan penyelidik berkenaan, malah mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan yang dibangunkan secara kolektif oleh universiti, penyelidik, pelajar, agensi kerajaan, sektor korporat, komuniti setempat dan sukarelawan.

Lebih empat dekad selepas SEATRU ditubuhkan, ekosistem tersebut terus melahirkan generasi penyelidik dan menyediakan ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman penyelidikan sebenar di lapangan membuktikan penyelidikan yang mempunyai kesinambungan mampu menghasilkan impak yang jauh melangkaui tempoh perkhidmatan seseorang ahli akademik.

Penganugerahan Merdeka Award kepada Dr. Chan turut mendorong UMT memperkukuh budaya penyelidikan berimpak, khususnya dalam bidang alam sekitar, demi menyokong pembangunan mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here