Oplus_16908288

 

JOHOR BAHRU – Seorang daripada 171 plaintif yang memenangi saman sivil berhubung pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini meluahkan rasa terkilan apabila tuntutan terhadap lapan defendan tidak berjaya.

Idham Wazir A Wahab, 56, bapa kepada mangsa yang paling terkesan, Irfan Wafiy Idham Wazir, 19, menegaskan, pihak berkuasa tetap mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kelestarian dan kemampanan alam sekitar meskipun tidak terlibat secara langsung dalam kejadian pencemaran berkenaan.

“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun akhirnya kes ini selesai. Namun, saya terkilan kerana pihak yang mempunyai kuasa tidak dipertanggungjawabkan.

“Pada saya, sepatutnya mereka juga mempunyai tanggungjawab kerana kita lihat ada kecuaian dalam menjaga kelestarian dan alam sekitar di kawasan Pasir Gudang,” katanya yang hadir pada prosiding keputusan saman sivil itu.

Mengulas keadaan terkini Irfan Wafiy yang mengalami myokymia susulan pencemaran berkenaan, Idham Wazir berkata, keadaan anak keempat daripada lima beradik itu semakin baik berbanding ketika kejadian.

Bagaimanapun katanya, remaja itu masih mengalami kesakitan pada kaki dan tidak boleh melakukan aktiviti sukan seperti biasa.

“Irfan Wafiy sekarang sudah besar dan akan menyambung pengajian. Dia sudah menamatkan peringkat asasi Sains di Universiti Malaya.

“Dia berminat untuk menjadi doktor dan mengambil bidang perubatan.

“Walaupun sudah tidak menggunakan tongkat seperti dahulu, dia masih tidak boleh bersukan,” katanya.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Sivil memutuskan semua plaintif berkenaan menang dalam saman sivil ke atas empat defendan.

Pesuruhjaya Kehakimanan Manira Mohd Nor membuat keputusan itu sebelum mengarahkan empat defendan berkenaan iaitu sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd; dua pengarah syarikat yang juga warga Singapura Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43 serta seorang pemandu lori, N Maridass, 42, untuk membayar kos guaman RM100,000 kepada semua plaintif.

Namun semua plaintif gagal dalam saman yang difailkan ke atas lapan defendan lain termasuk kerajaan negeri, Menteri Besar ketika kejadian iaitu Allahyarham Datuk Osman Sapian; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri ketika itu, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang).

Bagi maksud itu, semua plaintif diarahkan membayar kos guaman terhadap lapan defendan terbabit sebanyak RM80,000

Kejadian pencemaran sisa toksik pada Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup. – MalaysiaGazette

Akibat pencemaran Sungai Kim Kim: Irfan Wafiy positif myokymia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here