KUALA LUMPUR – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 5 sen seliter kepada RM5 dan RM4.52 seliter bagi tempoh 1 Oktober hingga 7 Oktober 2026.

Manakala harga runcit diesel tanpa subsidi juga menurun sebanyak 15 sen seliter kepada RM5.27 seliter bagi tempoh sama.

Kementerian Kewangan berkata, penurunan ini didorong oleh penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM), susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.

Pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan.

Menurutnya, eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi 4 juta tan, berbanding purata sekitar 3 juta tan sebulan pada tahun lalu, sekali gus membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau.

Namun begitu, pemulihan bekalan global masih tidak sekata.

Sebuah lagi loji penapisan utama Rusia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu, mengehadkan bekalan diesel dari Rusia ke pasaran antarabangsa.

Ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan. Sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula kepada harga minyak dan produk petroleum.

Selain itu, pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana.

Kementerian Kewangan menambah, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar Budi Madani bagi pengguna yang layak.

Penerima Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60% daripada harga tanpa subsidi.

Harga RON95 (Budi95) kekal RM1.99 seliter.

Manakala harga sistem kawalan petrol bersubsidi RM2.05 dan sistem kawalan diesel bersubsidi RM2.15 seliter.

Kementerian itu menambah, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” ujarnya. – MaaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here