KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan platform pembayaran digital bersepadu, USIMPay, sempena Persidangan Antarabangsa Perbankan, Perakaunan dan Kewangan Islam 2026 di Sepang, hari ini.
Berbeza daripada sistem yang hanya menumpukan pemprosesan transaksi, USIMPay membawa konsep payment ecosystem yang fleksibel bagi menyokong pelbagai model kutipan dan pembayaran serta boleh diintegrasikan dengan aplikasi dan sistem digital sedia ada.
Ia dibangunkan menerusi inisiatif Payment Service Agent (PSA) Bank Islam Malaysia Berhad dengan kerjasama USIM PACE serta penglibatan kepakaran akademik daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dalam bidang kewangan Islam, teknologi dan penyelesaian digital.
Timbalan Pendaftar USIM PACE, Ashikin Abdullah berkata, USIMPay merupakan projek PSA hasil kerjasama USIM dan Bank Islam yang membolehkan universiti bertindak sebagai penghubung antara peniaga dengan sistem transaksi serta mengurus transaksi kewangan melalui platform berkenaan.
“USIMPay merupakan satu usaha dan inisiatif USIM dalam membangunkan sebuah platform bagi memudahkan transaksi antara peniaga dengan sistem tersebut,” katanya.
Projek yang dikendalikan oleh pensyarah FEM diketuai Profesor Madya Dr. Khairil Faizal Khairi bersama pasukannya itu menyasarkan peluasan penggunaan kepada lebih ramai peniaga di seluruh Malaysia sebelum dikembangkan ke peringkat antarabangsa.
Selain transaksi komersial, USIMPay turut berpotensi diterapkan dalam bidang kewangan Islam dan kewangan sosial Islam serta diperluas penggunaannya kepada institusi, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor lain yang mempunyai keperluan transaksi khusus.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani pula berkata, platform berkenaan dijangka memudahkan urusan transaksi dalam kalangan mahasiswa dan staf serta perlu terus diperkasakan supaya manfaatnya dapat diperluaskan.
“Dengan adanya USIMPay, ia akan memudahkan pelajar, staf dan juga transaksi, dan saya berharap inisiatif ini akan diteruskan serta diperkukuh supaya menjadi lebih baik dan mantap,” katanya.
Pengenalan USIMPay menerusi persidangan antarabangsa itu memperlihatkan usaha USIM menggabungkan kepakaran akademik, inovasi teknologi dan kerjasama industri dalam menghasilkan penyelesaian digital yang boleh diterjemahkan kepada penggunaan sebenar.
Pengembangan USIMPay dijangka memperkukuh ekosistem teknologi kewangan USIM di samping membuka ruang kepada penyelesaian pembayaran yang lebih luas untuk sektor perniagaan dan komuniti, selaras dengan perkembangan ekonomi digital serta landskap kewangan Islam. -MalaysiaGazette
















