Sekitar Program Roundtable: Pembangunan Program Akademik Baharu Teknologi Pembuatan Aeroangkasa anjuran Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), UTeM, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh agenda negara bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi untuk sektor aeroangkasa menerusi pembangunan program Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dalam Pembuatan Aeroangkasa dengan Kepujian.

Bagi menjayakan program akademik baharu itu, UTeM menggunakan formula tersendiri menerusi pendekatan libat urus bersama lebih 10 syarikat dan pemain industri aeroangkasa serta institusi pengajian tinggi bagi memastikan kandungan
kurikulumnya benar-benar menepati keperluan sektor berteknologi tinggi berkenaan.

Usaha itu direalisasikan menerusi Program Roundtable: Pembangunan Program Akademik Baharu Teknologi Pembuatan Aeroangkasa anjuran Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), UTeM, baru-baru ini.

Program berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Prof Ir Ts Dr Shamsul Kamar Abu Samah.

Program sarjana muda berkenaan memberi tumpuan kepada bidang kritikal pembuatan aeroangkasa, termasuk CNC dan Multi-Axis Machining, Aerospace Component Manufacturing, Titanium, Superalloys dan Composite Machining, selain aspek Aerospace Quality & Compliance (AS9100).

Hasil dapatan bersama dengan pihak industri akan diterapkan dalam penambahbaikan struktur kurikulum dan kursus yang dicadangkan, termasuk elemen kemahiran digital lanjutan seperti simulasi berbantukan komputer dan automasi pemesinan aeroangkasa.

Dekan FTKIP, Profesor Ir. Dr. Mohd Asyadi ‘Azam Mohd Abid berkata, pendekatan berasaskan input industri itu penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sekadar menguasai teori, sebaliknya mempunyai kemahiran teknikal yang
boleh terus dimanfaatkan apabila memasuki alam pekerjaan.

“Pembangunan program ini mengambil kira keperluan sebenar industri supaya graduan yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang relevan dengan teknologi dan proses pembuatan aeroangkasa semasa.

“Kita juga memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran berasaskan industri supaya pelajar mendapat pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar, termasuk penggunaan teknologi pemesinan berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, sokongan industri seperti CTRM Aero Composites dan G7 Aerospace terhadap struktur latihan industri yang dicadangkan, termasuk potensi penempatan Work-Based Learning (WBL) berasaskan projek sebenar memberikan nilai tambah kepada pembangunan program itu.

Katanya, pendekatan berkenaan membolehkan pelajar memahami cabaran sebenar industri serta membina keupayaan menyelesaikan masalah sebelum mereka menamatkan pengajian.

Dalam pada itu, sesi libat urus turut mengenal pasti peluang kolaborasi antara universiti dan industri bagi mengoptimumkan penggunaan makmal serta fasiliti sedia ada.

Penglibatan Kolej Vokasional, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) dan politeknik pula memberi input penting mengenai kesediaan calon pelajar serta laluan pendidikan yang bersesuaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam bidang pembuatan aeroangkasa.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara FTKIP dan institusi pengajian yang dijemput sebagai langkah memperkukuh kerjasama akademik, perkongsian kepakaran serta pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan
industri pembuatan aeroangkasa negara.

Langkah itu dijangka dapat memperkukuh ekosistem pendidikan dan industri aeroangkasa, selain membantu menyediakan kumpulan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran khusus bagi memenuhi tuntutan industri pembuatan
aeroangkasa yang semakin berkembang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here