MELAKA – Seorang Pembantu Tadbir Am Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Imran Jeon, 60, yang bertugas sebagai Penjaga Pintu Air di Jasin di sini, pernah berkhidmat kepada lapan Ketua Menteri Melaka selama 37 tahun bekerja di jabatan itu di negeri berkenaan.
Imran mula bekerja di JPS pada 15 Julai 1989 yang ketika itu Melaka ditadbir ketua menterinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Katanya, ia diikuti dengan pentadbiran Allahyarham Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Rustam sebelum yang terkini Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dia tidak dapat menyembunyikan kekagumannya kepada Ab Rauf yang sangat mesra dengan rakyat di peringkat akar umbi menerusi pelbagai program yang dijalankan selama ini.
“Beliau (Ab Rauf) memang mesra dengan rakyat. Dia akan melayan setiap rakyatnya tanpa mengira siapa. Pengalaman kami sebagai penduduk apabila dia datang ke kampung, dia akan pergi ke setiap orang yang memanggil dia,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazzette di kediamannya di Taman Seri Serkam.
Menurut Imran, walaupun tidak mempunyai pengalaman peribadi bersama Ab Rauf namun dia sentiasa mengikuti perkembangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu.
Di bawah pentadbiran Ab Rauf, dia yakin Melaka akan terus mencapai kecemerlangan dalam pembangunannya.
Imran adalah antara yang diraikan Ab Rauf dalam satu majlis persaraan sebagai kakitangan awam di sini pada 24 September lalu.
Pada majlis itu, bapa kepada tiga anak itu menerima sijil penghargaan atas jasa dan khidmat baktinya kepada masyarakat. – MalaysiaGazzette
ARTIKEL BERKAITAN:
Sanggup berkorban agar penduduk boleh beraya, pengalaman Imran jaga pintu air
















