PAGI ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke rahmatullah.

Allahyarhamah meninggal dunia kira-kira pukul 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN).

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berusia 100 tahun.

Sebagai dua kali menjadi Wanita Pertama Malaysia, Dr Siti Hasmah banyak menjadi inspirasi kepada rakyat.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah

Ramai terasa dengan sentuhan lembutnya sepanjang berada di sisi Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri dan selepas suaminya bersara.

Beliau sentiasa menjadi tunjang kepada kehidupan tokoh negarawan itu.

Bukan sedikit jasanya menerajui aktiviti kebajikan di negara dan antarabangsa.

Beliau mendedikasi hidupnya dengan kerja-kerja amal selain berjaya ‘lari’ daripada situasi politik rencam negara.

Di sebalik polemik politik Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah sentiasa kekal sebagai figura ibu kepada semua.

Rapat dan mesra hubungan dengan suaminya sehingga meniti usia tua menjadi momen comel yang menyentuh hati ramai orang.

Lahir di Klang pada 12 Julai 1926, Dr Siti Hasmah seorang doktor perubatan dan pernah berkhidmat sebagai Canselor Universiti Multimedia.

Sebagai seorang doktor di Kedah, beliau aktif mempromosi kesihatan awam dan luar bandar dengan menganjurkan inisiatif untuk meningkatkan kebersihan, menggalakkan gaya hidup sihat serta menyediakan program imunisasi untuk kanak-kanak.

Dr Siti Hasmah merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik dalam sebuah keluarga yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary, Kuala Lumpur.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya di Singapura dan merupakan antara wanita Melayu pertama yang mendaftar dalam kursus perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini Sekolah Perubatan Yong Loo Lin).

Dr Siti Hasmah mencipta beberapa pencapaian penting dalam Kementerian Kesihatan termasuk menjadi wanita pertama di Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan dalam Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada tahun 1965.

Pada tahun 1966, beliau menyertai program sijil kesihatan awam di Sekolah Kesihatan Awam Universiti Michigan, Amerika Syarikat.

Pada tahun 1974, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah.

Sepanjang perkhidmatannya, Dr Siti Hasmah berjaya mengurangkan kadar kematian bayi daripada 75 bagi setiap 1,000 kepada hanya 6 bagi setiap 1,000.

Pada Ogos 1956, Dr Siti Hasmah berkahwin dengan Dr Mahathir dan mereka dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina; Mirzan; Melinda; Mokhzani; Mukhriz; Maizura dan Mazhar.

Gambar lama Siti Hasmah bersama Dr Mahathir.

Pasangan itu bertemu semasa belajar di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada tahun 1947.

Dalam tugas itu, Dr Siti Hasmah menggerakkan pendidikan kesihatan, imunisasi dan latihan untuk petugas membantu ibu serta bayi di kawasan luar bandar.

Selepas persaraan daripada perkhidmatan kerajaan, beliau terus aktif dalam kerja kebajikan dan kesihatan masyarakat.

Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, Siti Hasmah menggunakan peranannya untuk memperjuangkan kesihatan wanita, perancangan keluarga, celik huruf dan pencegahan penyalahgunaan dadah.

Dr Siti Hasmah juga pernah menerajui BAKTI serta memegang pelbagai peranan dalam pertubuhan kesihatan dan kebajikan.

Pada peringkat antarabangsa, Dr Siti Hasmah mewakili Malaysia dalam persidangan berkaitan penyalahgunaan dadah dan mengetuai delegasi negara ke Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita di Beijing pada 1995.

Sumbangannya menerima pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah Kazue McLaren dalam bidang kesihatan awam dan beberapa ijazah kehormat.

Pada 2003, Dr Siti Hasmah dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia yang membawa gelaran Tun.

Pada Julai lalu, beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100. Sebulan kemudian, beliau dan Dr Mahathir menerima pengiktirafan rekod berkaitan usia mereka sebagai pasangan bekas ketua kerajaan.

Di sebalik pengiktirafan itu, legasi Dr Siti Hasmah paling rapat dengan khidmatnya sebagai doktor yang membawa penjagaan kesihatan kepada wanita, ibu dan kanak-kanak.

Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa allahyarhamah.

Moga jasa Dr Siti Hasmah terus hidup dalam kalangan rakyat Malaysia dan semoga roh allahyarhamah dirahmati Allah dan ditempatkan bersama golongan mereka yang beriman. Al Fatihah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here