ISKANDAR PUTERI – Keasyikan kumpulan mat rempit berlumba dan melakukan aksi berbahaya di lebuh raya terbantut selepas ditahan polis dalam operasi di Plaza Tol Lima Kedai di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya@Yahaya berkata, operasi bersepadu tersebut dilakukan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang mengganggu keselamatan serta ketenteraman pengguna jalan raya.
“Hasil operasi yang dijalankan, seramai 57 individu terdiri daripada 52 lelaki dan lima perempuan berumur antara 15 hingga 30 tahun serta 46 buah motosikal diperiksa.
“Sebanyak 112 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelbagai kesalahan, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 106 notis juga atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, dalam operasi sama, sebanyak 43 motosikal disita bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan di daerah ini khususnya kegiatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Operasi seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Iskandar Puteri sentiasa terpelihara,” katanya.- MalaysiaGazette















