KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan kesedihan atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang disifatkannya sebagai satu kehilangan yang sukar diterima.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Syed Saddiq berkata, beliau tidak menyangka pertemuan bersama Allahyarhamah sebelum ini merupakan pertemuan terakhir mereka.
Menurutnya, Allahyarhamah sempat bergurau, berkongsi cerita serta memberi nasihat berkaitan perkahwinan, keluarga dan kehidupan ketika pertemuan berkenaan.
“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap dua jam itu akan berlangsung selama-lamanya.
“Tun ketawa bersama kami, bergurau dengan kami, berkongsi cerita dan memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan,” katanya.

Syed Saddiq turut menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang baik hati, lucu, mesra dan penuh dengan kebijaksanaan hasil pengalaman hidupnya.
Beliau berkata, dia masih sukar menerima hakikat bahawa Allahyarhamah sudah tiada, namun menerima pemergian itu sebagai ketentuan Allah SWT.
Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada Allahyarhamah kerana memberikan kenangan terakhir yang indah bersama pasangannya, Bella Astillah.
Beliau berkata, Allahyarhamah tidak dapat memenuhi hajat mereka untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka kelak.
“Tetapi saya berjanji, Tun, nasihat Tun akan kami bawa ke dalam perkahwinan kami, rumah tangga kami dan, insya-Allah, sepanjang hayat kami,” katanya.
Syed Saddiq turut mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di tempat tertinggi dalam syurga. – MalaysiaGazette
















