GEORGE TOWN – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Guan Eng berkata, pemergian allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
“Tun Dr Siti Hasmah telah memberikan banyak jasa dan sumbangan kepada Malaysia khususnya dalam bidang kesihatan, kebajikan masyarakat dan pembangunan wanita.
“Segala jasa dan khidmat bakti allahyarhamah kepada negara akan sentiasa dikenang.
“Takziah kepada seluruh keluarga. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini,” katanya.
Allahyarhamah yang berusia 100 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9.20 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal menceburi bidang perubatan dan kemudiannya berkhidmat dalam perkhidmatan kesihatan awam. – MalaysiaGazette
















