PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh memindahkan proses manual yang panjang kepada skrin digital tanpa melakukan perubahan sebenar terhadap struktur, proses dan tata kelola penyampaian perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pendigitalan tidak boleh dianggap sebagai transformasi sekiranya proses masih panjang, data yang sama terus diminta berulang kali dan sistem antara agensi tidak boleh berkomunikasi.
Pendigitalan sepatutnya menjadi pemangkin kepada reformasi sebenar bagi menghapuskan kerenah birokrasi yang selama ini membebankan rakyat.
“Kita tidak boleh sekadar memindahkan proses manual yang panjang ke skrin digital. Jika proses masih panjang, data yang sama masih diminta berulang kali, sistem masih tidak boleh berkomunikasi dan rakyat masih perlu bergerak daripada satu agensi kepada agensi yang lain, adakah itu benar-benar transformasi digital?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Enterprise Architecture (EA) Sektor Awam 2026 dan Peluncuran Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Shamsul Azri berkata, pendekatan pendigitalan perlu selari dengan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menuntut kerajaan menilai semula proses lama serta cara perkhidmatan disampaikan kepada rakyat.
“Prinsipnya mudah iaitu gunakan pendigitalan untuk menghapuskan karenah birokrasi,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana urusan rakyat tidak terikat dengan carta organisasi kerajaan apabila mendapatkan sesuatu perkhidmatan.
“Apabila seseorang mahu memulakan perniagaan, mendapatkan rawatan, melanjutkan pelajaran atau mendapatkan sesuatu perkhidmatan, rakyat tidak seharusnya perlu memahami kementerian mana, jabatan mana atau satu sistem mana yang menguruskan setiap proses.
“Ini kerana di mata rakyat, kerajaan ialah satu entiti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, RPSA 2026-2030 mengangkat perkhidmatan berpusatkan rakyat menerusi perkhidmatan digital bersepadu, gerbang tunggal dan prinsip ‘Hanya Sekali’.
Prinsip berkenaan membolehkan maklumat yang sudah dimiliki kerajaan dimanfaatkan secara selamat dan bertanggungjawab supaya rakyat tidak perlu berulang kali mengemukakan maklumat sama kepada agensi berbeza.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, sebanyak 40 kluster perkhidmatan kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disasarkan untuk diseragamkan menjelang 2030.
Sasaran itu merangkumi 19 kluster perkhidmatan Persekutuan, lapan kluster negeri dan 13 kluster PBT.
Katanya, penyeragaman itu penting bagi mengenal pasti fungsi yang sama, proses yang boleh diselaraskan, data yang boleh dikongsi serta komponen yang boleh digunakan semula sebagai perkhidmatan sepunya.
“Angka ini bukan sekadar sasaran di atas kertas. Kita perlu duduk bersama di peringkat Persekutuan, negeri, badan berkanun dan PBT,” katanya.
Shamsul Azri berkata, langkah itu juga bagi mengurangkan pertindihan sistem serta memastikan setiap pelaburan digital kerajaan menghasilkan impak yang nyata kepada rakyat dan kerajaan. – MalaysiaGazette















