MELAKA – Ketika penduduk lena diulit mimpi sewaktu hujan lebat pada dinihari, ada insan sanggup bersengkang mata bagi memastikan tiada harta benda musnah dilanda musibah banjir.
Itulah tanggungjawab seorang wira yang tidak didendang, Imran Jeon, 60, yang pernah bertugas sebagai Penjaga Pintu Air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sekitar daerah Jasin di sini sejak 37 tahun lalu.
Tanpa mengira waktu hatta pada awal pagi raya sekali pun, bapa kepada tiga anak itu sanggup keluar rumah meredah hujan lebat dan ribut petir untuk membuka pintu air sungai atau empangan bagi memastikan tiada berlaku banjir di kawasan perkampungan sekitar.
Imran yang ditemui di kediamannya di Taman Seri Serkam, Jasin di sini berkata, ia adalah rutin hidupnya terutama ketika cuaca tidak menentu.
Selama hampir empat dekad dia dipertanggungjawabkan menjaga empat pintu air di Umbai, Anjung Batu, Pantai Siring dan Kuala Merlimau.
“Selama saya bekerja, saya hanya berseorangan, tiada pengganti dan nak cuti pun susah,” katanya.
Adakala kalau berlaku hujan lebat pada malam dan pagi raya, dia terpaksa bawa isteri, Norhayati Talib, 53, dan tiga anaknya ke pintu air untuk mengawal pintu air bagi mengelak air sungai melimpah memasuki kebun dan penempatan.
“Kami terpaksa berkorban agar penduduk setempat dapat beraya,” katanya.
Menurutnya, kawalan pintu air perlu dilakukan dalam tempoh lapan jam mengikut jadual pasang dan surut air laut.
Dalam tempoh 37 tahun itu, katanya, lebih 10 kali dia sekeluarga beraya di tempatnya bertugas.
Antara peristiwa yang sukar dilupakan Imran ialah beberapa kali bertemu ular sawa di kawasan pintu air pada awal pagi namun bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika terserempak dengan reptilia ganas itu.
“Alhamdulillah setiap kali terserempak ular sawa, saya tidak kena turun ke sungai sebab tiada sampah tersangkut di pintu air sebab jika ada sampah, saya terpaksa turun ke bawah pintu air untuk membersihkannya terlebih dahulu,” jelasnya.
Pengorbanannya yang bertugas sejak 15 Julai 1989 itu mendapat pengiktirafan kerajaan negeri apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meraikannya dalam satu majlis persaraan pada 24 September lalu.
Pada majlis itu, Imran menerima sijil penghargaan daripada Ab Rauf atas jasa dan pengorbanannya bertugas sebagai Penjaga Pintu Air JPS selama 37 tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ab Rauf yang sudi meraikan persaraan saya selama 37 tahun berkhidmat dengan JPS,” katanya.
Di atas jasa dan pengorbanannya juga pada 2025, Imran dianugerah Pingat Bakti Masyarakat (PBM) daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. – MalaysiaGazette
















