JOHOR BAHRU – Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mempunyai legasi tersendiri dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam kenyataan menyifatkan, Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang telah mencurahkan sebahagian besar kehidupannya untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
“Tun Dr Siti Hasmah akan dikenang sebagai seorang tokoh negara yang mempunyai legasi dan sumbangannya tersendiri, khususnya dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.
“Sebagai antara generasi perintis wanita Melayu dalam bidang perubatan, beliau membina kerjaya dalam kesihatan awam dan memberikan perhatian khusus kepada kesihatan ibu dan kanak-kanak.
“Pada tahun 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak di Kedah dan kemudiannya menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak negeri pada tahun 1974,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Jelas MUDA, sepanjang hayatnya, Allahyarhamah turut menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan awam, kebajikan wanita dan keluarga, pendidikan, kesihatan mental serta usaha menangani penyalahgunaan dadah.
“Satu abad kehidupan Tun Dr Siti Hasmah meninggalkan sebuah legasi tentang khidmat, ketabahan dan sumbangan kepada masyarakat. Generasi Malaysia hari ini dan akan datang akan terus mengenang jasa serta sumbangan beliau kepada negara,” kongsi MUDA lagi.
MUDA merakamkan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, seluruh ahli keluarga serta semua yang mengenali dan menyayangi Allahyarhamah.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarhamah berusia 100 tahun dan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pukul 9.20 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Allahyarhamah antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam. – MalaysiaGazette
















